Perjanjian Malaysia 1963 atau MA63 masih hangat perkatakan. Isu penting untuk rakyat Sarawak dan Sabah.
Malah dalam kontek integrasi nasional dengan Malaya, MA63 mempunyai impak yang tersendiri dalam penubuhan Malaysia secara dasarnya.
Menurut portal Asklegal.my takrifan MA63 ialah seperti berikut :
“Borneo Utara dan Sarawak dan negara Singapura akan digabungkan dengan negeri-negeri yang sedia ada dalam Persekutuan Tanah Melayu membentuk suatu kesatuan yang dinamakan Malaysia berikutan dari perjanijian yang termeterai”
Malah pesanan Temenggong Jugah anak Barieng wajar jadi pegangan berguna untuk kita semua.
Katanya jangan Malaysia seperti tebu; manis di pangkal, tawar di hujung.Atau lebih buruk lagi, habis manis sepah dibuang.
Ironinya MA63 merupakan perjanjian antarabangsa.Perjanjian yang telah berdaftar dalam Perubuhan Bangsa-bangsa Bersatu pada 21 September 1970 dengan nombor pendaftaran 10760.
Perjanjian ini tidak boleh dipinda melainkan atas persetujuan Sabah, Sarawak, Kerajaan Persekutuan dan United Kindom melalui kuasa persetujuan para penandatangan perjanijian tersebut.
Ini adalah fakta yang tidak boleh dipertikaikan dalam sejarah undang-undang pada peringkat antarabangsa.
Dalam MA63 sudah termaktub hak Sabah dan Sarawak yakni berkuasa melaksanakan MA63 dengan sendirinya.
Sabah dan Sarawak mempunyai kuasa autonomi dalam membuat keputusan. Malah Sarawak dan Sabah mempunyai undang-undang sendiri berkaitan hal imigresen.
Bersandarkan fakta ini ternyata hal imigresen harus dilaksanakan mengikut semangat asal klausa itu dan bukan untuk tujuan politik.
Memetik sumber Astroawani yang bertarikh 15 September, 2013 , Pensyarah Kanan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Prof Madya Dr Jeniri Amir, berkata ketika pembentukan Malaysia pada 1963, kedudukan Sarawak dan Sabah adalah sebagai rakan sekutu yang mempunyai kedudukan dan taraf sama dengan entiti wilayah Semenanjung dan Singapura, bukannya bertaraf negeri.
Dalam portal yang sama juga, Profesor Fadzil Abdul Rahman ada menyatakan keputusan mengembalikan semula status Sabah dan Sarawak sebagai rakan sekutu seiring dengan kesepakatan dan semangat awal yang dipersetujui dalam MA63.
Bahkan Sarawak dan Sabah wajar mendapatkan semula hak mereka mengikut persetujuan dalam MA63 terutamanya ketika isu Akta Pembangunan Petroleum (PDA 74) dan Ordinan Perlombongan Minyak (OMO) masih berlarutan.
Kerajaan Persekutuan selaku pemegang taruh negara ini perlu akur bahawa perjuangan menuntut hak dalam MA63 bukan untuk merengangkan integrasi nasional.
Impian rakyat Sabah dan Sarawak sangat menjurus kepada soal pembangunan.Biarpun negara Malaysia sudah terbentuk sejak 56 tahun namun pembangunan di kedua buah rakan sekutu ini belum seimbang sepenuhnya.
Isu-isu seperti pembayaran royalti minyak yang rendah, Borneonisasi penjawat awam yang masih gagal dilaksanakan yang memperlihatkan masih wujudnya dominasi penjawat awam dari Malaya dan kewangan negeri yang masih terhad merupakan antara isu yang sering dibangkitkan sehingga hari ini.
Jurang perbezaan di antara Sarawak dan Sabah dengan Malaya, sekiranya tidak dibendung, mampu mencetuskan semangat kewilayahan yang mengancam integrasi nasional.
Pendekatan yang bijak, holistik dan diplomatik perlu dalam menangani isu ini sebelum menjadi barah.Penekanan kepada sikap hormat-menghormati, pendedahan media massa terhadap cara hidup dan pengetahuan kenegaraan, terutamanya tentang wilayah-wilayah Malaysia, amat penting bagi memupuk semangat perpaduan kaum, mengurangkan salahfaham dan menguatkan integrasi nasional walaupun tinggal berjauhan dan di dalam suasana kehidupan yang berbeza.
Isu MA63 yang menjadi asas pembentukan Persekutuan Malaysia tetap diperjuangkan.rakyat Sarawak dan Sabah bersama pemimpin di kedua buah negeri.
Kejayaan menuntut hak dalam MA63 memberi kesan kepada semangat integrasi nasional
Hanya dengan kejayaan mencapai integrasi nasional, barulah semangat muhibah dan harmoni boleh tercapai di kalangan rakan sekutu antara Sabah, Sarawak dan Malaya.
.
0 Comments