Mengapa Graduan Sukar Dapat Kerja

  


Sebaik sahaja graduan menamatkan pengajian mereka di universiti, memang menjadi hasrat mereka untuk mendapat pekerjaan secepat yang mungkin.

Namun begitu berapa ramai di kalangan mereka yang bernasib baik kerana mendapat kerjaya apa yang mereka ingini dalam hidup mereka.

Ya. Mendapat kerjaya yang diingini dan pendapatan yang tinggi.

Hakikatnya ramai yang masih belum mendapat pekerjaan yang sesuai.

Malah realiti yang paling pahit untuk ditelan ialah menjadi penganggur. Mereka tidak mempunyai pekerjaan tetapi berminat untuk bekerja.

Lebih malang, masih ramai belum bekerja biarpun selepas enam bulan graduasi.

Laporan Jabatan Perangkaan Malaysia pada Mei 2018 menyatakan kadar pengangguran di Malaysia sekitar 3.3 peratus. Fakta ini bukan indikator yang bagus untuk kita meremehkan peluang graduan memasuki pasaran pekerjaan.

Dalam dalam akhbar Suara Sarawak yang bertarikh 1 April 2019 ada mengutarakan isu graduan sukar mendapat pekerjaan.

Rata-rata graduan yang ditemuramah berpendapat mereka sukar mendapat pekerjaan kerana kurang pengalaman bekerja.

Pihak majikan mensyaratkan bakal pekerja perlu sekurang-kurangnya dua tahun pengalaman bekerja atau lebih lagi baik.

Dari sudut kepentingan majikan tentulah calon yang ada pengalaman dalam bidang berkaitan lebih bernilai berbanding mereka yang baharu sahaja lepas belajar.

Selain itu para graduan juga dikatakan memiliki persaingan yang sengit.

Sukar untuk dinafikan kerana setiap tahun lepasan siswazah baik IPTA dan IPTS berlambak di pasaran.

Peluang pekerjaan pula terhad.

Bahkan ada organisasi yang didakwa tidak telus atau mengamalkan ‘kabel’ untuk mendapatkan calon yang sesuai.

Tindakan ini kurang adil kepada pencari kerja yang lain. Lebih-lebih lagi kepada mereka yang ada kebolehan dan bakat dalam bidang yang dipohon.

Jangalah kerana ‘kabel’, calon yang benar-benar layak tidak mendapat tempat untuk menyumbangkan khidmat dan keupayaan mereka.

Tentulah berat sebelah jika hanya menyalahkan majikan semata-mata dalam isu graduan sukar mendapat pekerjaaan.

Ada pencari kerja dikatakan sambil lewa dan tidak mempunyai persiapan yang sempurna ketika memohon kerja.

Semangat dan kesungguhan untuk mendapat kerja yang dipohon tidak ditunjukkan sebelum, semasa dan selepas temuduga.

Persediaan dengan ilmu dan keupayaan untuk berkomunikasi boleh menjadi kelebihan berbanding dengan calon-calon yang lain.

Dalam pada itu juga para graduan yang dikatakan kurang kemahiran IT.

Kemahiran begini menjadi bonus memandangkan kebanyakkan syarikat beroperasi dalam sistem teknologi dan peralatan moden.

Sesuai dengan keadaan syarikat yang cuba mengurangkan kos operasi tentulah penambahan tenaga kerja menjadi isu penting dan utama.

Tambahan pula kos untuk menggajikan pekerja yang ada ijazah lebih tinggi berbanding mereka yang cuma ada sijil maupun diploma.

Kewajaran ini sukar untuk dinafikan.

Pencari kerja pula wajar memahami realiti ini.

Seyogia diingatkan jadilah graduan yang benar-benar berkualiti dan bernilai tinggi untuk bakal majikan.

Penuhi segala keutamaan mereka sehingga tidak ada ruang langsung untuk bakal majikan menolak anda untuk diterima tanpa sangsi dan curiga.

0 Comments